Qawiyul Jism (Kekuatan Jasmani)

Umar Ibn al-Khatab r.a. telah menulis kepada ahli Syam dan menasihati mereka: Rasulullah SAW bersabda :

"Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah serta menunggang kuda." (Ibn Majah dan Nasai).



Sungguh! Kekuatan jasmani amat dititikberatkan sehinggakan Rasulullah SAW sendiri telah mengajar dan menunjukkan bahawa anak-anak perlu dipersiap dengan tubuh badan yang cergas dan diajar untuk melakukan aktiviti-aktiviti sihat sejak kecil lagi untuk memikul tugas yang lebih besar dan getir pada masa hadapan.



Islam merupakan agama yang syumul (menyeluruh). Seseorang muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri agar turut dilengkapi elemen-elemen kesyumulan tersebut. Islam mencakupi semua bidang kehidupan. Islam bukan sahaja menjelaskan isu sekitar aqidah,ibadah, negara, tanah air, akhlak dan umat,tetapi juga turut menyentuh tentang aspek kekuatan.



Seperti yang dijelaskan Allah di dalam al-quran :

"Dan persiapkanlah apa-apa sahaja kekuatan yang kamu sanggupi." (Al-anfal:60)



Petikan maksud kalam Allah ini amat menarik dan umum. Ia mencakupi semua jenis kekuatan malah ayat ini merupakan tuntutan wajib kerana ia merupakan suatu suruhan yang datang langsung daripada Allah swt.



Kekuatan yang ditekankan bukanlah hanya terbatas kepada kekuatan ketenteraan sahaja seperti yang diketengahkan dalam ayat di atas, namun ia meliputi dan merangkumi semua perkara yang boleh menjadikan seseorang muslim itu sebagai individu muslim yang kuat. Sebagai contoh seperti kekuatan dalam aspek ilmu pengetahuan,kekayaan,perusahaan dan sebagainya.



Oleh sebab itulah, setiap muslim wajib mencari dan melakukan apa-apa yang mampu menjadikan dirinya "kuat" dari pelbagai aspek seperti yang dihuraikan sebentar tadi. Namun, apa yang menjadi fokus utama artikel ini ialah untuk membincangkan tentang kekuatan tubuh badan dan jasmani.



Hal ini sendiri bertepatan kerana Islam itu sendiri sebagai simbol kekuatan. As-syahid Imam Hasan Al-Banna menjelaskan :

"Islam menyeru kepada kekuatan. Seseorang muslim tidak seharusnya lemah kerana agama Islam sungguh mengambil berat tentang soal kekuatan."



Tugas muslim di bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepada Allah, dan menjadi khalifah dimuka bumi. Melihat kepada keadaan umat Islam masa kini, kita tidak boleh lari dari membicarakan tugas sebagai muslim selari dengan dua objektif utama yang dinyatakan sebelum ini, iaitu "Dakwah". Menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kerosakan di muka bumi. Pelaksanaan dakwah sungguh berat dan merupakan tanggungjawab yang cukup besar untuk ditanggung malah ia merupakan tugas yang sangat mencabar. Seiring dengan itu, dakwah memerlukan rijal yang mempunyai badan yang sihat dan kuat.



Rasulullah SAW sangat menitikberatkan soal ini. Antara hadis yang acap kali didengar:

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Imam Hassan Al-Banna turut berpesan:

"Muslim haruslah sentiasa memeriksa kesihatan diri,mengamalkan riadhah dan tidak makan atau minum sesuatu yang boleh merosakkan badan."



Lihatlah, sudah jelas bahawa kekuatan diri dan jasmani tidak datang bergolek. Ia memerlukan disiplin dan azam yang tinggi. Sebagai mahasiswa, sering kali kita terlupa dan lalai dengan tuntutan dan kehendak tubuh badan kita. Kita terlalu sibuk dan leka dengan urusan kita, sehinggakan kita tiada masa untuk memenuhi tuntutan dan kehendak tubuh badan kita.



Bertitik tolak dari sini, sebagai mahasiswa muslim, janganlah kita melupakan tuntutan kehendak jasmani diri kita. Berikut dinyatakan langkah-langkah asas yang boleh diterapkan dalam kehidupan diri individu muslim agar mengamalkan gaya hidup yang sihat supaya dari sinilah, lahirnya rijal-rijal yang kuat dan sihat tubuh badan mereka, bagi memastikan panji-panji dakwah terus berkibar di atas muka bumi ini:



  • Memastikan tubuh badan sentiasa bersih
  • Memastikan pakaian yang dipakai sentiasa dibasuh dan bersih
  • Tempat tinggal sentiasa dalam keadaan yang kemas,bersih dan teratur
  • Tidak berjaga malam berlebihan-lebihan
  • Iltizam dgan senaman, pastikan sekurang-kurangnya bersenam 2 jam seminggu
  • Bangun sebelum terbit fajar atau subuh
  • Tidak merokok, menghidu gam, menghisap dadah dan minum arak
  • Menjauhi tmpat-tempat kotor atau berpenyakit yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan tubuh badan.



Umum telah mengetahui malah lebih arif tentang isu yang ingin diketengahkan. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar mempraktik dalam kehidupan seharian mereka?? Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita bermuhasabah, memperbaiki diri ke arah yang lebih baik kerana keuntungan berpihak kepada orang mukmin yang menjadikan hari mendatang lebih baik dari hari sebelumnya.



Semoga artikel ini dapat memberi pengajaran dan menyentuh hati penulis dan juga para pembaca sekalian, agar sama-sama kita memperbaiki diri, berjihad dan berkorban sedaya mampu untuk membantu agama suci ini kembali tertegak seperti yang dilalui pada zaman-zaman kegemilangan Islam suatu masa dahulu. Kekuatan jasmani indivdu muslim merupakan salah satu pembentukan diri dari sepuluh ciri-ciri individu muslim unggul yang sewajibnya diterapkan dalam setiap diri mahasiswa. Semoga kita tergolong dalam menyumbang kearah kebangkitan Islam agar kita sentiasa mendapat keredhaan daripada Allah SWT. InsyaAllah...

Leave a Reply