Perutusan YDP BKASJ sempena Tahun Baru Islam 1433Hijriah.


MAAL HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim

Sudah menjadi budaya di Negara kita pabila tibanya Maal Hijrah, perayaan besar-besaran diadakan demi menghormati dan meraikan hari bersejarah dalam Islam ini.

Hijrah adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah membolehkan baginda mengatur strategi lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan umat Islam. Allah Taala juga berfirman :

“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.”
Al-Baqarah:218.

Terfikir sejenak di minda, adakah diri ini menyambut hari mulia ini dengan penuh keinsafan dan pengertian sebenar ‘Hijrah’berdasarkan sirah di zaman Rasul, atau hanya sekadar ikut-ikutan dan bergembira kerana dengannya cuti umum seluruh Negara diadakan?

Tahukah teman-teman, di sebalik Maal Hijrah itu ada pengajaran berkaitan hubungan kita dengan Allah, dengan Rasul, dengan Islam dan juga perjuangan Islam.

Sesungguhnya Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda yang mafhumnya, apa yang dikehendaki oleh Nabi ialah hijrah jihad dan niat :

"Tiada lagi hijrah sesudah kemenangan membuka semula Kota Mekah melainkan Jihad dan niat"

1.Hijrah Niat.

Masih ingatkan sahabat semua kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah? Keputusan umat Islam untuk berhijrah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Ianya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Segalanya perlu ditinggalkan demi suatu misi. Dan perjalanannya juga bukan singkat dan selesa. Mereka berjalan kaki, bukan menaiki kereta mahupun kapal terbang.

Dengan bekalan makanan yang hanya cukup-cukup, dan perjalanan yang perlu diubah laluannya agar tidak bertembung dengan para musyrikin di tengah jalan, hijrah memerlukan keikhlasan yang tinggi. Segala kesusahan dan kepayahan yang dihadapi mereka tidak akan bermakna sekiranya NIAT mereka melakukan hijrah itu bukan kerana Allah dan Rasul, sebagaimana yang disebut Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam dalam Hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa(niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

2.Hijrah Jihad.

Jihad dengan makna berperang melawan musuh sama ada musuh yang ada dalam diri kita iaitu menundukkan nafsu selari dengan syara’, dan juga syaitan dan musuh yang memerangi Islam yang terdiri dari kalangan manusia.

Sungguh, bukan mudah untuk menewaskan ketiga-tiga musuh ini. Kita memerlukan satu tekad yang tinggi, serta keikhlasan semata-mata kerana Allah. Namun, bagaimana untuk mencipta rasa ikhlas itu?

Dengan kembali mengingati mati.

Dan meyakini bahawa, setiap perlakuan itu pasti akan dibalas di akhirat kelak. Tiada satu pun yang akan terlepas, melainkan semuanya berada dalam perhatian Nya.

3.Ukhuwwah Islamiyyah.

Ukhuwwah Muhajirin dan Ansar patut juga diambil pengajaran. Betapa dua manusia yang tidak pernah bersua bisa disatukan dengan ikatan hati, yakni ikatan aqidah yang mentauhidkan Yang Satu, sehingga sanggup berkongsi harta dengan saudara sesama agama.

Bagaimana pula dengan kita?

Hanya kerana bola, 2 saudara seagama berlainan bangsa saling mencaci.

Hanya kerana kekasih hati, 2 sahabat sanggup memutuskan tali persahabatan.

Hanya kerana harta, talian kekeluargaan diputuskan kerna ego yang menyelubungi diri.

Dan, sekelompok saudara tidak pernah peduli akan nasib saudaranya yang lain hanya kerna dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.

Mengapa begitu mudah sekali sebuah perhubungan suci itu terhapus, hanya semata-mata kerana masalah kecil yang sementara. Ayuh sahabat, hubungkanlah kembali tali persaudaraanmu. Tiada menang buat Islam, selagi ummatnya tidak terislah untuk bersatu.

4.Berstrategi Dalam Mencapai Matlamat.

Sebagai umat Islam yang sentiasa ingin menjadikan Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam sebagai teladan unggul, aspek perancangan yang telah ditunjukkan dalam peristiwa hijrah ini perlulah diteladani. Muslim yang baik haruslah seorang yang mampu merancang kerjanya, serta berstrategi dalam segala tindak tanduknya.

Telah tertulis dalam 10 muwassofat tarbiyyah (sifat-sifat tarbiyah), seorang Muslim yang baik adalah mereka yang teratur urusannya. Tiada dalam kamus hidupnya menangguh sesuatu kerja yang penting, mendahulukan kerja yang sampingan. Baginya setiap perkara itu perlu diletakkan pada tempatnya, yakni berlaku adil terhadap setiap perkara berdasarkan prioriti masing-masing.

Kesimpulan.

Penghijrahan dari satu titik negatif ke titik positif tidak datang percuma. Tidak mudah. Hijrah memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan itu ertinya terkorban. Bersediakah kita untuk berkorban dan terkorban? Secara tidak langsung, peristiwa hijrah mengajar umat Islam supaya sentiasa positif, optimis dan berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu. Dan sudah pastilah diiringi doa dan tawakkal pada Allah.

Jadikanlah tahun baru ini sebagai pencetus semangat melahirkan diri kita yang ‘baru’, yang lebih bersemangat untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan memperjuangkan kesucian Islam .

Akhirnya, bagi pihak saya dan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan, mengucapkan selamat tahun baru Islam 1433 Hijriah kepada seluruh ahli BKASJ di semua mantiqah, semoga ukhwah islamiyyah kita kekal selamanya, insya'allah, Allahumma amin.

Salam Maal Hijrah 1433H dari BKASJ.
MOHAMED KHIEDIER BIN ABD WAHAB.
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan(BKASJ),
Sesi Pentadbiran 2011/2012.


Leave a Reply