Suasana pagi yang hening di belakang masjid nabawi as-shariff iaitulah terdapat perkampungan pekuburan Baqi'.
"..Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku," ujar Rasulullahi sllallahu ‘alayhi wa sallam.
Pagi yang hening di kawasan perkuburan Baqi' tika itu menjadi saksi kerinduan Baginda Sollallah Alayhi Wassalam. Tempat itu menjadi saksi juga pemergian(kematian) manusia beriman kepada Allah, dan yang paling pastinya Rasulullahi Sollallahu Alayhi Wassalam akan menyertai mereka seperti kita.
"..Wahai utusan Allah, bukankah kami juga adalah saudara-saudaramu?" tanya para sahabat ingin sekali memastikan.
"..Kalian semua adalah sahabatku. Adapun saudara-saudara yang kumaksudkan, adalah orang-orang beriman yang belum ada..." jawab Rasulullahi Sollallahu Alayhi Wassalam.
Hairan kan.
Mencintai manusia yang belum ada.
Waiimma anak muda, kalau cintanya pada perempuan yang belum ada, sampaikan tiang telefon pun di anggap kekasih qalbunya. Akibat menanggung rinduu pada bakal isterinya yang masih belum ada, ia satu perkara hairan, ajaib, mustahil, dan perlu cepat merawat penyakitnya itu. "Gila bayang" lah tu.
Tetapi manusia yang menjadi kekasih Allah itu, mengungkapkan kasih, cinta luar biasa. Kerana apa, kerana yakin dengan pasti, bahawa kematian itu sesuatu yang direncana ketetapannya oleh TuhanNya. Kematian itu pasti.
Kematian yang pasti berlaku itu, menjadikan Baginda yakin untuk bertemu dengan manusia yang beriman di waktu mendatang adalah sangat mustahil. Dengan mengetahui mereka itu beriman kepada Allah dan RasulNya, ia cukup-cukup menyuburkan rasa cinta Baginda, hatta bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, dan keadaan mereka, asalkan mereka beriman cukuplah ia meraih cinta Nabi Muhammad Sollallahu Alayhi Wassalam.
Allahu..teman-teman, selawatlah ke atas Baginda Sollallahu Alayhi Wassalam.
Perkuburan Baqi' Madinah Al-Munawwarah.
Saat 12 Rabi'ul Awwal Tahun ke 11 Hijriah.
Tiga hari Baginda Sollallahu Alayhi Wasallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakar Radhiyallaahu anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda Sollallahu Alayhi Wasallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“..Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sollallahu alayhi wasallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakar sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sollallahu alayhi wasallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“..Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya. Merindui kita semua teman-teman.
Semoga kita berlumba-lumba ingin menjadi orang beriman yang dicintai dan dikasihi kekasih Allah yang mulia itu. Allahumma amin..