Rukun-rukun Islam itu merupakan asas-asas akhlak dalam Islam, kerana ia tidak saja merupakan latihan zahir, tetapi juga latihan batin yang lebih mendalam dan mempunyai tujuan untuk memperbaiki budi pekerti manusia. Segala ibadah yang terkandung dalam rukun Islam, jika dikerjakan dengan semestinya , akan membangkitkan suatu pembangunan budipekerti dalam diri seseorang yang tidak hanya menambah kekuatan ikatannya dengan Tuhan penciptanya, malah menyihatkan badan serta menyelamatkan hidupnya.
Quran dan sunnah membuka rahsia ini dalam ajaran-ajarannya yang suci, agar manusia memperhatikannya.
Mengenai syahadah umpamanya, pada zahirnya ia hanya merupakan ucapan dua kalimah pengakuan : Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu PesuruhNya.
Kalimah yang pertama dinamakan syahadah Tauhid, iaitu pengakuan untuk mengesakan Tuhan, sehingga tertanamlah ke dalam hati orang yang mengucapkannya, bahawa tidak ada yang berkuasa selain daripada Tuhan yang satu. Dengan demikian akan hilanglah padanya segala tahyul dan kepercayaan yang bukan-bukan, yang dapat mengganggu kehidupannya sehari-hari., dan akan tertegaklah kebenaran di atas jalan yang benar dalam menghadapi apa jua sekalipun. Dengan adanya pengakuan ini, ia mempunyai pendirian yang teguh, jiwa yang tidak kosong, meski di mana pun ia berada, dalam susah atau senang, aman atau bahaya, tidak berputus asa kerana adanya Tuhan tempat mengadu, meminta tolong ketika sedih, tempat berterima kasih ketika senang dan gembira. Dia tikan akan menjadi seorang yang takabbur tatkala mewah, tidak putus asa ketika papa kedana.
Seseorang ini menjadi orang yang patuh kepada ajaran-ajaran Tuhan, yang disebut dalam al-Quran dan sunnah dan yang menjadi dasar pembentukan akhlaknya dan budipekertinya yang luhur. Dengan keyakinannya itu dia akan terdorong banyak berbuat amal kebajikan terhadap keluarganya dan masyarakat, terhadap Negara dan perikemanusiaan pada umumnya , dengan tidak mengharapkan balasan duniawi, pangkat dan pujian daripada manusia, tetapi semuanya dikerjakan kerana mengharapkan kerelaan dan ampunan Tuhan semata-mata.
Kalimah yang kedua dinamakan syahadah rasul, yang bererti pengakuan bahawa nabi Muhammad itu Pesuruh Allah dan apa yang disampaikannya bukanlah berasal dari hawa nafsunya sendiri, tetapi adalah pelajaran-pelajaran Allah untuk memperbaiki pergaulan manusia di atas dunia ini.
Keyakinan ini membuatkan seseorang patuh dan cinta kepada nabinya dan oleh kerana itu, jiwanya senang menerima segala apa yang disampaikan dan contoh-contoh kehidupan yang ditunjukkan kepada pengikut-pengikutnya sebagaimana yang tersimpan dalam kitab-kitab Hadis, Sahih, Sunan dan Musnad.
Sebagaimana kita lihat pada murid-murid,dalam mereka menerima pelajarn dari guru mereka, mereka juga memperhatikan tingkah laku gurunya. Tingkah laku guru mudah diikut murid. Analoginya adalah umat Islam sendiri yang mana gurunya adalah Nabi Muhamad s.a.w. Nabi diutus Tuhan bukan hanya menyampaikan ajaran-ajarannya, tetapi juga untuk memberi contoh tauladan yang baik untuk umat. Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak.
Hisham bin Amir menceritakan bahawa ia pada suatu hari mendatangi Aisyah, isteri Nabi, dan menanyakan kepadanya, bagaimanakah yang sebenarnya akhlak Nabi itu. Aisyah menjawab bahawa akhlak Nabi itu ialah Quran.
Maka oleh kerana itu ada baiknya bagi umat Islam untuk sering membaca riwayat-riwayat hidup Nabi Muhammad, kerana di dalamnya akan terdapat perincian tingkah laku Nabi yang patut dicontohi.
Segala sifat yang baik ini harus diajar dan seterusnya dimiliki oleh setiap umat Islam agar umat berjaya mencapai kemenangan yang gemilang. Orang yang mempunyai sifat-sifat tersebut di atas dicintai oleh masyarakat sekelilingnya dan kesannya, akan hidup bahagia di kalangan orang ramai.
Tuhan berfirman : Barangsiapa taat kepada Allah dan RasulNya, pasti orang itu akan masuk ke dalam golongan mereka yang mendapat kurnia nikmat dari Allah sebagaimana juga nabi-nabi , sahabat-sahabat, pahlawan-pahlawan dan orang-orang salih, dan akan mendapat teman yang baik.