Archive for 2011

Terkini BKASJ: Skim Bantuan Kewangan Khas untuk Ahli BKASJ.


Biro Ekonomi dan Kebajikan BKASJ 2011/2012, dipetik sebagai berkata,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Untuk makluman semua ahli BKASJ, kami dari Biro Ekonomi & Kebajikan pada sesi kali ini telah menubuhkan satu skim iaitu Skim Bantuan Kewangan Pelajaran (SBP).

Tujuan utama skim ini diwujudkan adalah untuk:

1-Membantu ahli BKASJ dari segi kewangan.
2-Menjaga kebajikan ahli BKASJ selari dengan objektif BKASJ untuk sesi kali ini.
3-Meringankan bebanan perbelanjaan ahli BKASJ. 
4-Menggalakkan ahli BKASJ untuk lebih bersemangat untuk meneruskan pelajaran.

Sasaran utama:

Kepada pelajar persendirian yang tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Pihak kami juga telah mengedarkan borang kepada perwakilan setiap mantiqah. Sekiranya ahli2 BKASJ adalah dikalangan pelajar private bolehlah mengambil borang Skim SBP ini dari perwakilan setiap mantiqah..

Sebarang persoalan berkaitan dengan skim ini boleh rujuk:
AMMAR BIN ROSLAN (0777592282) 
NURHIDAYATI BINTI MOHD RAFY (0777762882)

Bagi perwakilan setiap mantiqah:

[AMMAN]
SYABAB-MUHAMAD UMAR MUTTAQI BIN ABDUL AZIZ (0777667684)
AKHAWAT -NURAZILAH BINTI ABDUL HALIM (0776904578)

[IRBID]
SYABAB -MUHAMMAD SHAHIER BIN SA’MIN (0779935756)
AKHAWAT -SITI AMIRA BINTI AHMAD DARDIRI (0777863015)

[MAFRAQ]
SYABAB- MUHAMMAD AINUR RABBANI BIN NASOHAH (0779443400)
AKHAWAT -UMMU AIMAN HASBULLAH (0775522196)

[MU’TAH]
SYABAB- ABDUL MUHAIMIN BIN FAKHARUDIN (0779207702)
AKHAWAT -SITI MURNI BINTI SHAHROM (0779827764)

Intabeh!!!
Tarikh tutup untuk mendaftar bagi skim ini adalah pada 20 Januari 2012. Kebajikan keutamaan kami insya'allah, semoga Allah permudahkan segala urusan teman-teman BKASJ.

Muhasabah: Setiap manusia sentiasa dalam pengawasan dariNya.

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalammualaikum wbt.. 


Ikhwah dan akhwat yang dicintai ALLAH..

Salam ukhuwah, salam perjuangan… Sedikit perkongsian untuk kita renungi bersama..


~Pabila terasa diawasi Tuhan
Rasa berdosa setiap masa
Rasa hina diri dengan Tuhan
Rasa syukur dengan nikmat Nya

Jiwa derita dengan dosa
Hati rasa kurang amal pada Nya
Itulah hakikat sifat kehambaan
Bahagia

Allah ya Allah

Mukmin sejati sentiasa waspada
Dari dosa tanpa sengaja
Apatah lagi dosa yang nyata
Umpama gunung jatuh padanya

Segala-galanya untuk Tuhannya

Jiwa derita dengan dosa
Hati rasa kurang amal pada Nya
Itulah hakikat sifat kehambaan
Bahagia

Gerak laku bertambah kaku
Lantaran nafsu yang telah jemu
Namun diriku bertambah malu
PadaMu ya rabbi
Yang miliki sifat An-Nasru..


~Antum pernah dengar lagu ini??

Subhanallah.. Sungguh indah lirik yang mengiringi alunannya..

Sahabat-sahabat yang ana cintai fillah.. 

Inilah hakikat JIWA… jiwa yang sentiasa WASPADA…waspada dengan pemerhatian dari yang MAHA ESA jiwa yang sentiasa merasa HINA sebagai HAMBA yang tak pernah lari dari DOSA… 


juga sedang bertatih mengejar PAHALA.. 

Sahabat-sahabat.. 

Pada saat ini, ingin ana menyeru diri ana, juga setiap yang sedang membaca nukilan ini… 
RENDAHKANLAH…!!! Rendahkanlah HATI dan JIWAmu!! Tundukkanlah ia seketika…..!! Tundukkanlah hatimu seketika duhai sahabat…~ 

Rasailah…rasailah walau sedetik akan pengawasan Tuhan akan setiap gerak-gerimu..setiap langkah dan tingkah lakumu.. Apakah ada rasa gentar dan gerun dalam hati-hati kita?? Adakah secebis rasa yang mampu membekukan sejenak segala gerakan kita…?? 

Allahu Rabbi… Tidakkah kita sedar selama ini bahawa kita sedang di AWASI?? Diawasi dengan sangat KETAT dan SYADID! Diawasi tanpa kompromi walau sedetik mahupun sesaat.. 

Sahabat-sahabat yang dikasihi ALLAH.. 
Ayuh..kita soroti kembali..zaman “kegemilangan” PERSEKOLAHAN kita dahulu.. Biasa dengar perkataan “PENGAWAS” ?? atau exco-exco asrama?? 

~Mereka yang bertindak memerhati dan mencatit nama serta setiap kesalahan-kesalahan kita untuk dilaporkan kepada guru, atau dikenakan penalti-penalti tertentu.. Mereka yang akan sibuk menjaga barisan, pagar asrama atau dewan makan..bersama pen dan kertas..dengan mata tajam yang menyoroti setiap tindak tanduk pelajar.. 

Oh, sungguh menggerunkan.. ! 

Dalam perhimpunan, kasut kotor kena penalty, kuku panjang kena penalty, datang lambat atau bercakap-cakap dalam perbarisan kena penalti..:( Dalam dewan makan..tidak beratur dikenakan penalty, ambil makanan lebih dikenakan penalty, datang lambat, penalty..oh, semuanya PENALTI..dari sekecil-kecil kesalahan hingga sebesar—besar kesalahan yang mampu menyebabkan pelajar digantung sekolah/asrama.. 

Dan dek kerana takut kan penalty yang akan mempengaruhi prestasinya sebagai pelajar..maka wujudla pelajar-pelajar yang digelar “skema”.. juga, dek kerana takutkan gelaran “skema” itu, maka wujud jugala pelajar-pelajar yang lebih seronok dan bahagia melanggar peraturan-peraturan dan disiplin sekolah..kerana mahu “enjoy” dan merasai kelazatan menjadi pelajar yang “nakal”.. Begitulah hakikat DUNIA dan AKHIRAT… rupa-rupanya, disiplin yang cuba diterapkan disekolah itu adalah satu LATIHAN secara langsung pada kita untuk menyedari HAKIKAT ini… 

Hakikat…bahawa di kanan kiri kita ada PENGAWAS yang tidak pernah lelah mahupun lalai mencatit setiap kesalahan dan kebaikan kita.. Bukan SATU, malah DUA pengawas untuk menjaga dan mengawasi kita nan seorang ini! Allahu Rabbi…betapa kami tidak sedar tentang hakikat ini.. 

Maka, adakah kita masih takut untuk memilih jalan sebagai hamba-hamba ALLAH yang SKEMA?? Skema dalam erti kata- takut untuk melanggar peraturan-peraturan ALLAH serta berusaha melaksanakan segala perintahya dan jauhi larangannya?Adakah kita masih ingin rasa ENJOY dengan kehidupan dunia dengan erti kata-ingin menuruti segala tuntutan nafsu dan takut digelar dengan gelaran2 alim, baik, poyo, skema atau sebagainya?? Wanaudzubillah waiyyazubillah.. 

Renung-renungkan wahai diri…

Sebelum ana akhiri nukilan ini dengan persoalan-persoalan ringkas yang ana telah tinggalkan tadi.. 

Marilah kita sama-sama hayati DIALOG dan SKETSA ringkas ini sebagai gambaran untuk kita selaminya..Dialog yang MAHA AGUNG kepada kita yang hina dina ini.. 

~Bacalah, hayatilah..bayangkan kata-kata ini sedang benar-benar dituturkan dihadapan kita.. disaat kita dihadapkan dengan pencipta, disaat amalan-amalan kita kan dihitung dan kita sudah tidak punya HUJJAH! Tidak punya ALASAN untuk berdolak dalih lagi akan balasan MANDATORI yang akan menimpa kita,

(Tika kita rasakan balasan itu tidak setimpal dengan dosa-dosa yang kita zahirkan…) Allah berfirman:

“Dan sungguh Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” 

“Ingatlah ketika dua malaikat mencatat perbuatannya , yang satu duduk disebelah kanan dan yang lain di sebelah kiri.” 

(Disaat kita tidak pernah sedar apa yang kita telah tuturkan dalam perbualan seharian kita..kita berkata-kata menurut hati kita tanpa berfikir akan natijahnya….) Allah berfirman:

“Tiada satu kata yang diucapkannya melainkan ada disisinya pengawas yang selalu siap mencatat..” 

( Di saat AJAL itu telah sampai….dengan amaran, atau tanpa amaran..Ajal yang TIBA-TIBA atau didahului dengan sakit dan kesempatan bertaubat..Ajal yang telah lama mengejar kita..Ajal yang datang ketika kita masih muda belia, semasa kita masih bergelar “pelajar”, atau di saat kita telah berumah tangga dan bekeluarga..atau juga kita diberi kesempatan hingga saat kita sudah tua dan beranak cucu..) Allah berfirman: 

Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah dahulu yang hendak kamu hindari..” 

(Juga dikala hari kebangkitan telah tiba…serta tempelakan demi tempelakan ditujahkan kepada kita..) Allah berfirman: 



Dan ditiupkanlah sangkakala. Itulah hari yang diancamkan. Setiap orang akan datang bersama malaikat pengiring dan malaikat saksi.. 

Sungguh kamu dahulu lalai dengan peristiwa ini, maka kami singkapkan tutup yang menutupi matamu , sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam! 

Dan malaikat yang menyertainya berkata: “ Inilah catatan perbuatan yang ada padaku” 

Allah berfirman:

Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka jahannam , semua orang yang sangat ingkar dan keras kepala!” 

Yang sangat enggan melakukan kebajikan, yang melampaui batas dan bersikap ragu-ragu. 

Yang mempersekutukan Allah dengan tuhan yang lain, maka lemparkanlah dia ke dalam azab yang keras! 

SYAITAN yang menyertainya berkata pula, 

“Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya, tetapi dia sendiri yang berada dalam kesesatan yang jauh!” 

Allah berfirman: 

“Janganlah kamu bertengkar di hadapanKu! Dan sungguh, dahulu Aku telah memberi ancaman kepadamu. 

KeputusanKu tidak dapat diubah, dan Aku tidak menzalimi hamba-hambaKu. 

Ingatlah pada hari Kami bertanya kepada jahannam: 

“Apakah kamu sudah penuh??” Ia menjawab: “ Masih adakah tambahan??

Allahu ALLAH.. tidak cukupkah ini semua menggerunkan kita?? BANGUNLAH..bangunlah wahai JIWA..membuat amal, berlumba ke arah kebaikan!! Kejarlah bayangan indah ini..pabila kita kan tergolong dan dibangkitkan sebagai orang-orang yang BERTUAH..orang-orang yang terpilih dianugerahkan RAHMAT ALLAH.. 

Sedangkan syurga didekatkan kepada orang-orang yang bertaqwa pada tempat yang tidak jauh dari mereka. 

Kepada mereka dikatakan: “Inilah nikmat yang dijanjikan kepadamu, iaitu kepada sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah dan mematuhi semua peraturan-peraturanNya. 

Iaitu orang-orang yang takut kepada Allah yang Maha Pengasih, sekalipun tidak kelihatan olehnya dan dia datang dengan hati yang bertaubat. 

Masuklah ke dalam syurga dengan aman dan damai..itulah hari yang abadi” 

..Mereka di dalamnya memperolehi apa yang mereka kehendaki dan pada Kami ada tambahannya.” 

(Adaptasi-Surah Qaaf:16-35)

اللهم أحيينا بالايمان وأمتنا بالايمان واحشرنا بالايمان وأدخلنا الجنة مع الايمان""
Wahai Tuhan kami, hidupkan kami dengan Iman, matikan kami dengan Iman, bangkitkan kami selepas kematian dengan Iman, Masukkan kami ke syurgaMu dengan Iman..

_______________________________
Penulis adalah Ustazah Nur Jannah Binti Roslan, Universiti Al-Bayt, Timbalan Unit Tarbiyah dan Akademik. 


Eksklusif Disember: Majlis Ramah Mesra BKASJ 2011/2012.



Julung-julung kali diadakan di musim sejuk.

Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan[BKASJ] akan mengadakan Majlis Ramah Mesra bagi sesi 2011/2012.

Dengan tema: Ukhuwah Tunggak Keutuhan Ummah.

Teman-teman ahli BKASJ yang disayangi sekalian dijemput hadir memeriahkan program penuh julung-julung kali diadakan penuh bermanfaat ini, usah lupa janji temu kita pada:

Tarikh: 24 Disember 2012.
Tempat: Dewan Tarbiyah, Universiti Yarmouk.
Masa: 11.45 pagi sehingga 3.00petang.

Antara program menarik perhatian kali ini:


Ucapan Perasmian.
Ucapan YDP BKASJ-Ustaz Mohamed Khiedier Bin Abd Wahab.
Pengenalan AMM/AMT BKASJ.
Persembahan Nasyid.
Slot Menarik-Bersama Dr. Ustaz Mohd Farid Ravi Bin Abdullah.


Sila Berhubung dengan wakil mantiqah anda:



Pesanan buat teman-teman BKASJ.

Ayuh ahli BKASJ sekalian! usah lepaskan peluang berukhwah islamiah bersama semua anak kelahiran Negeri Selangor Darul Ehsan.

Waimma Tahun satu, tahun akhir, semua ahli dijemput hadir, datang ke mantiqah Irbid dengan semangat yang baharu. Kekalkan momentum ukhwah kita semua..iya, jumpa di sana..

Hewi Day MPPMJ: Menu menanti semua.




Kesekiankalinya HEWI Day MPPMJ muncul di waktu syita' ini, dengan tema penuh versatile, intelligent dan professional, Serikandi Pembangun UMMAH.

Tarikh :09 Disember 2011(JUMAAT).
Waktu :8 am-9am.
Tempat: Mudarraj Abu Ubaidah(Mafraq).

Sehubungan itu, Unit Ekonomi dan Kebajikan akan bersama-sama turun padang melakukan jualan dengan menu yang baik untuk kesihatan, tambah keyakinan.

Untuk Ahli BKASJ, insya'allah ada diskaunnya, tetapi bersamalah kita meningkatkan ekonomi BKASJ agar teguh dan berkebajikan, insya'allah.

Jadi, usah lepaskan peluang membeli menu makanan di Hari HEWI MPPMJ nanti.

Menu terbaik musim syita' :

-Karipap
-Donut
-Mee goreng
-Air buah
-Puding jagung
-Samosa
-Kek coklat/kek batik


Sekian.

Perutusan YDP BKASJ sempena Tahun Baru Islam 1433Hijriah.


MAAL HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim

Sudah menjadi budaya di Negara kita pabila tibanya Maal Hijrah, perayaan besar-besaran diadakan demi menghormati dan meraikan hari bersejarah dalam Islam ini.

Hijrah adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah membolehkan baginda mengatur strategi lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan umat Islam. Allah Taala juga berfirman :

“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.”
Al-Baqarah:218.

Terfikir sejenak di minda, adakah diri ini menyambut hari mulia ini dengan penuh keinsafan dan pengertian sebenar ‘Hijrah’berdasarkan sirah di zaman Rasul, atau hanya sekadar ikut-ikutan dan bergembira kerana dengannya cuti umum seluruh Negara diadakan?

Tahukah teman-teman, di sebalik Maal Hijrah itu ada pengajaran berkaitan hubungan kita dengan Allah, dengan Rasul, dengan Islam dan juga perjuangan Islam.

Sesungguhnya Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda yang mafhumnya, apa yang dikehendaki oleh Nabi ialah hijrah jihad dan niat :

"Tiada lagi hijrah sesudah kemenangan membuka semula Kota Mekah melainkan Jihad dan niat"

1.Hijrah Niat.

Masih ingatkan sahabat semua kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah? Keputusan umat Islam untuk berhijrah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Ianya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Segalanya perlu ditinggalkan demi suatu misi. Dan perjalanannya juga bukan singkat dan selesa. Mereka berjalan kaki, bukan menaiki kereta mahupun kapal terbang.

Dengan bekalan makanan yang hanya cukup-cukup, dan perjalanan yang perlu diubah laluannya agar tidak bertembung dengan para musyrikin di tengah jalan, hijrah memerlukan keikhlasan yang tinggi. Segala kesusahan dan kepayahan yang dihadapi mereka tidak akan bermakna sekiranya NIAT mereka melakukan hijrah itu bukan kerana Allah dan Rasul, sebagaimana yang disebut Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam dalam Hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa(niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

2.Hijrah Jihad.

Jihad dengan makna berperang melawan musuh sama ada musuh yang ada dalam diri kita iaitu menundukkan nafsu selari dengan syara’, dan juga syaitan dan musuh yang memerangi Islam yang terdiri dari kalangan manusia.

Sungguh, bukan mudah untuk menewaskan ketiga-tiga musuh ini. Kita memerlukan satu tekad yang tinggi, serta keikhlasan semata-mata kerana Allah. Namun, bagaimana untuk mencipta rasa ikhlas itu?

Dengan kembali mengingati mati.

Dan meyakini bahawa, setiap perlakuan itu pasti akan dibalas di akhirat kelak. Tiada satu pun yang akan terlepas, melainkan semuanya berada dalam perhatian Nya.

3.Ukhuwwah Islamiyyah.

Ukhuwwah Muhajirin dan Ansar patut juga diambil pengajaran. Betapa dua manusia yang tidak pernah bersua bisa disatukan dengan ikatan hati, yakni ikatan aqidah yang mentauhidkan Yang Satu, sehingga sanggup berkongsi harta dengan saudara sesama agama.

Bagaimana pula dengan kita?

Hanya kerana bola, 2 saudara seagama berlainan bangsa saling mencaci.

Hanya kerana kekasih hati, 2 sahabat sanggup memutuskan tali persahabatan.

Hanya kerana harta, talian kekeluargaan diputuskan kerna ego yang menyelubungi diri.

Dan, sekelompok saudara tidak pernah peduli akan nasib saudaranya yang lain hanya kerna dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.

Mengapa begitu mudah sekali sebuah perhubungan suci itu terhapus, hanya semata-mata kerana masalah kecil yang sementara. Ayuh sahabat, hubungkanlah kembali tali persaudaraanmu. Tiada menang buat Islam, selagi ummatnya tidak terislah untuk bersatu.

4.Berstrategi Dalam Mencapai Matlamat.

Sebagai umat Islam yang sentiasa ingin menjadikan Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam sebagai teladan unggul, aspek perancangan yang telah ditunjukkan dalam peristiwa hijrah ini perlulah diteladani. Muslim yang baik haruslah seorang yang mampu merancang kerjanya, serta berstrategi dalam segala tindak tanduknya.

Telah tertulis dalam 10 muwassofat tarbiyyah (sifat-sifat tarbiyah), seorang Muslim yang baik adalah mereka yang teratur urusannya. Tiada dalam kamus hidupnya menangguh sesuatu kerja yang penting, mendahulukan kerja yang sampingan. Baginya setiap perkara itu perlu diletakkan pada tempatnya, yakni berlaku adil terhadap setiap perkara berdasarkan prioriti masing-masing.

Kesimpulan.

Penghijrahan dari satu titik negatif ke titik positif tidak datang percuma. Tidak mudah. Hijrah memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan itu ertinya terkorban. Bersediakah kita untuk berkorban dan terkorban? Secara tidak langsung, peristiwa hijrah mengajar umat Islam supaya sentiasa positif, optimis dan berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu. Dan sudah pastilah diiringi doa dan tawakkal pada Allah.

Jadikanlah tahun baru ini sebagai pencetus semangat melahirkan diri kita yang ‘baru’, yang lebih bersemangat untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan memperjuangkan kesucian Islam .

Akhirnya, bagi pihak saya dan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan, mengucapkan selamat tahun baru Islam 1433 Hijriah kepada seluruh ahli BKASJ di semua mantiqah, semoga ukhwah islamiyyah kita kekal selamanya, insya'allah, Allahumma amin.

Salam Maal Hijrah 1433H dari BKASJ.
MOHAMED KHIEDIER BIN ABD WAHAB.
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan(BKASJ),
Sesi Pentadbiran 2011/2012.


Tips: Kesihatan di Waktu Syita'

Jom jaga kesihatan waktu syita' ini...penting!

Islam satu agama yg merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuk penjagaan dari sudut kesihatan yang mana Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal.

Justeru itu kita amat dituntut supaya menjaga kesihatan kerana "sihat" merupakan anugerah berharga dari Allah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:


"Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud:


"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." 
(Hadis Riwayat Muslim)

Agama Islam juga meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Ini berdasarkan Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:


"Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan(iman). 
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Musim Syita'(sejuk) melanda seluruh Jordan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT, dalam cuaca sejuk melanda bumi syam ini, marilah besama kita menjaga kesihatan diri. Penting!

Kita mengetahui kepelbagaian cuaca di Bumi tempat kita menuntut ilmu ini, di Irbid, Amman, Mu'tah dan Mafraq sama mengalami sejuk yang berpanjangan, adakalanya di waktu siang 13 darjah celcius berubah secara mendadak di malam hari dengan 5 ke 7 darjah celcius.

Allah SWT menguji kita agar menjadi penuntut ilmu yang sabar, seterusnya menunaikan hak pada diri sendiri iaitu menjaga kesihatan, supaya apabila sihat senang untuk kita menuntut ilmu dan paling utama demi beribadah kepadanya.

Perlu juga diingatkan di samping kita menjaga anugerah kesihatan yang diberikanNya kadangkala kita diuji dengan sedikit kesakitan. Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam telah mewasiatkan kepada pesakit-pesakit supaya mereka berubat.

Sabda Nabi s.a.w. :

"Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada baginda Nabi dan mereka bertanya:

 "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya,"apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'."
 (Hadis Riwayat Ahmad)


Tips dari Unit Sukan dan Kebudayaan BKASJ.

Namun berusahalah kita mengelakkan diri dari sakit yang melanda.

Bagi mengelakkan perut kita yang kekurangan tenaga, cepat lapar, sentiasa tidak bermaya, jom hayati 7 perkara ini, terutama dalam fatrah(tempoh) kita seharian ke Kuliah atau Universiti:



(1) Minum terlalu banyak minuman manis- Hasil daripada kajian oleh University of California di San Fransisco mendapati bahawa kandungan gula boleh 'menipu' otak terhadap keinginan untuk makan lebih banyak. Ia menghalang hormon leptin daripada memberitahu otak bahawa anda telah mendapatkan makanan yang secukupnya.

(2) Makan makanan bertin- Makanan di dalam tin terdedah kepada bahan kimia seperti bisphonel-A atau BPA, yang turut mempengaruhi hormon leptin seseorang. Ia akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali dan juga dikatakan sebagai punca terhadap masalah obesiti.

(3) Sarapan pagi yang tidak mencukupi- Hasil kajian terhadap 6746 orang selama empat tahun mendapati bahawa seseorang yang mengambil 300 kalori pada sarapan pagi akan meningkatkan pertambahan berat badan sebanyak dua (2) kali ganda berbanding orang yang mengambil 500 kalori. Ini kerana sarapan pagi yang tidak mencukupi akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali sepanjang hari.


Pesanan: buat sahabat-sahabat yang berpuasa sunat(Isnin dan Khamis) digalakkan anda bersahur, terutama musim sejuk yang kian menipiskan daya tenaga di perut anda. Bersahur ada barakahnya. Cubalah.


(4) Tidak makan sayur-sayuran/buah-buahan- Khasiat di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membantu untuk seseorang berasa kenyang lebih lama dan ini dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.


(5) Minum teh(shai) kurang gula- Hasil daripada kajian mendapati bahawa seseorang yang minum teh kurang gula selepas makan akan membuatkan mereka berasa lebih kenyang dan secara tidak langsung dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.

(6) Kurang minum air masak(moyya sihhi)- Tubuh badan yang kurang air akan menyebabkan seseorang untuk makan lebih banyak kerana ia meningkatkan tahap kelaparan seseorang. Sebaiknya, sebelum makan anda perlu minum air masak terlebih dahulu.

(7) Kebosanan- Hasil daripada kajian penyelidik Flinders University, Australia mendapati bahawa kebosanan akan meningkatkan keinginan seseorang untuk makan lebih banyak. Jadi bagi mengelakkan kebosanan, buatlah perkara bermanfaat, seperti membaca, studi group, ziarah kawan-kawan, aktiviti Persatuan dan lain-lain.

Menjaga kesihatan merupakan satu acquired taste yang biasanya mengambil masa untuk dihargai dan diminati. Yang penting, kita yang membuat pilihan untuk kebaikan diri sendiri.

Semoga syita' |musim sejuk ini penuh bahagia dan bermakna buat semua Ahli BKASJ, jangan culas untuk pergi ke kuliah pula. 

Jaga kesihatan antum, kerana dirimu amat-amat berharga. Sekian.

Unit Sukan dan Kebudayaan BKASJ.

Ustaz Haji Anhar Opir: Imtihan itu Ujian.



1. Imtihan biasanya bertujuan untuk menguji penguasaan ilmu yang dipelajari. Tanpa melihat kepada matlamat belajar setiap orang, yang sepatutnya kerana Allah SWT, imtihan telah menjadi satu sistem dalam pendidikan. Sama ada menggunakan kaedah sumatif atau formatif, ia berfungsi untuk menguji kefahaman, sehingga dapat diketahui selepas itu mereka yang cemerlang dengan mereka yang sederhana. Maknanya ia menjadi alat untuk membezakan di antara seseorang dengan seseorang yang lain.

2. Allah Azza wa Jalla memerintahkan Nabi SAW supaya melakukan ujian kepada golongan wanita yang datang ke Madinah selepas Perdamaian Hudaibiah tahun ke 6 Hijrah. 


Tujuannya untuk menguji keimanan mereka dan mengetahui faktor mereka berhijrah ke Madinah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahinah ayat 10:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah mereka, Allah lebih mengetahui akan iman mereka. Dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir.

3. Imam al-Tabari (310H) dalam tafsirnya menyebut tentang apa yang dilakukan oleh nabi SAW terhadap mereka melalui soalan lisan yang diajukan. Al-Tabari menyatakan:

Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas ditanya tentang kaedah yang digunakan oleh nabi SAW ketika menguji wanita tersebut, jawabnya: Nabi SAW menguji mereka dengan bersumpah mengatakan bahawa: Demi Allah aku tidak keluar kerana benci suami, demi Allah aku tidak keluar kerana menginginkan satu tempat, demi Allah aku tidak keluar untuk mencari dunia (harta), dan demi Allah aku tidak keluar melainkan kerana cintakan Allah dan Rasulnya. (Tafir al-Tabari, Dar al-Fikr, Beirut, jilid 28, hlmn 67)

4. Imtihan boleh berlaku dalam pelbagai konteks, sama ada kehidupan itu secara keseluruhannya atau dalam konteks yang lebih kecil. Dalam konteks pendidikan kita telah sedia makluman akan kepentingan dan kesannya. Berusahalah secara maksimum dan bertawakkallah kepada Allah. Ia merupakan tempoh yang sangat penting bagi seorang penuntut ilmu. Berjaya mengurus tempoh ini bermakna kejayaan, dan sebaliknya jika gagal mengurusnya maka ia bermaksud kegagalan.

5. Tempoh ini menguji akidah dan keyakinan kita. Lebih signifikan dikaitkan dengan qadha’ dan qadar Allah SWT, yang mubram dan yang mu’allaq. Percaya atau tidak dengan janji Allah Azza wa Jalla, dan di antara perbuatan Allah dan perbuatan manusia. Bagaimana pula dengan teori al-kasb (usaha dan ikhtiar) dalam aliran al-Asya’irah. Boleh jadi ada yang terjerumus menjadi al-Jabariah, al-Qadariah atau al-Muktazilah. Kita disuruh berusaha tetapi pada masa yang sama Allah SWT telah tentukan qadar kepada kita, bagaimana ye?. 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa nabi bersabda:

Sesungguhnya kejadian setiap daripada kamu di dalam perut ibunya empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah seumpama dengannya, kemudian menjadi mudhghah (fetus) seumpama dengannya, kemudian malaikat dihantar kepadanya dan disuruh dengan empat kalimah; dituliskan rezekinya, ajalnya, amalnya, kemudian dituliskan penderitaan (neraka) atau kebahagiaan (syurga), kemudian ditiupkan kepadanya roh (nyawa). (Riwayat Abu Daud)

6. Tempoh imtihan ini juga menguji syariat dan ibadah. Ada yang menjadi baik pada musim imtihan tetapi kembali melakukan maksiat selepas tamat imtihan, alasannya supaya boleh jawab soalan dengan baik kerana maksiat boleh gelapkan hati. Terdapat juga yang fana’dengan nota dan study group hingga melewatkan solat dan mengabaikan solat berjemaah, mereka kata masa tak cukup dan kena ‘study maut’. Itu baru yang wajib belum lagi yang sunat seperti baca al-Qur’an, solat sunat rawatib dan bersedekah, lagi lah jauh untuk dilakukan. Namun masih ada yang istiqamah dengan peribadi muslim, tahniah untuk mereka. Hakikatnya manusia adalah hamba Allah SWT selagi hayat dikandung badan, samada musim imtihan atau tidak, saat kritikal atau biasa. Allah maha mengetahui setiap tindak tanduk kita, sama ada yang zahir atau batin. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 97-99:

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yakin (kematian).

7. Akhlak dan peribadi kita juga teruji dalam tempoh ini. Akhlak dengan rakan sebilik, serumah, sejabatan, sefakulti dan seuniversiti. Masing-masing menggunakan kaedah tersendiri dalam mengulangkaji tanpa menghiraukan sekelilingnya. Ada kaedah yang biasa dan ada kaedah yang ganjil bahkan menyakiti hati orang lain pula. Pendek kata penuntut ilmu sangat kereatif dalam hal ini. Janganlah kejayaan yang kita dapat nanti ada yang terguris dan marah dek kerana perbuatan kita. Biarlah semua orang gembira dan bahagia dengan kejayaan kita. Tunaikan hak kepada mereka yang berhak mendapatnya. 

Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah daripada ayahnya:

Nabi SAW telah mempersaudarakan Salman al-Farisi dengan Abu Darda’, satu hari Salman menziari Abu Darda’ lalu Salman melihat Ummu Darda’ dalm keadaan bajunya lusuh, Salman bertanya: apa yang berlaku? Ummu Darda’ menjawab: Saudaramu Abu Darda’ tidak berhajat kepada dunia. Datang Abu Darda’ dan menyiapkan makanan untuk saudaranya. Abu Darda’ menjemput Salman: Silakan makan, aku berpuasa. Salman menjawab: Aku tidak akan makan sehingga kamu makan. Abu Darda’ pun makan. Pada malamnya Abu Darda’ bangun untuk qiamullail, Salman berkata: tidurlah. Abu Darda’ pun tidur. Seketika Abu Darda’ bangun lagi untuk qiamullail. Salman berkata: tidurlah, maka Abu Darda’ pun tidur. Pada akhir malam Salman bangun dan berkata kepada saudaranya: Bangunlah sekarang dan kita solat. Salman berkata lagi: Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Tuhanmu, untuk dirimu juga ada hak, untuk keluargamu juga ada hak, maka berikanlah hak kepada setiap yang berhak. Kemudian Abu Darda’ mendapatkan nabi SAW dan menceritakan kisahnya, lalu nabi berkata kepadanya: Salman benar. (Riwayat al-Bukhari)

8. Tempoh imtihan ini juga, setiap kita mesti menjaga kesihatan. Kebersihan tempat tinggal dan kebersihan diri kerana ia sangat memberi kesan dalam menuntut ilmu. Jika tidak dijaga, ia boleh menjejaskan kesihatan. Apabila dah sakit, maka kita tidak mampu menggunakan masa yang diperuntukkan secara maksimum, pada waktu ini imtihan pun sudah tidak berfaedah baginya. Makanan yang masuk dalam badan kita juga perlu dipastikan halal dan baik. Ia bukan semata-mata tentang kesihatan, tetapi juga ada kaitan dengan doa yang mustajab. 

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa:

Ketika dibacakan ayat: Wahai manusia makanlah apa yang ada di atas muka bumi ini daripada yang halal dan baik (al-Baqarah ayat 168), bangun Sa’ad bin Abi Waqas dan berkata: Ya Rasulullah, doakanlah untukku agar Allah menjadikanku orang yang mustajab doanya. Nabi SAW menjawab: Wahai Sa’ad, perelokkanlah makananmu nescaya doamu akan mustajab, demi sesungguhnya yang jiwa Muhammad dalam genggamannya, seorang hamba yang memasukkan walau sesuap makanan yang haram ke dalam rongganya, maka Allah tidak akan menerima amalannya selama empat puluh hari. (Riwayat al-Tabrani, al-Awsat)

9. Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang merupakan guru kepada Imam al-Ghazali (505H), pernah mendedahkan kepada anak muridnya bahawa faktor yang menyebabkan beliau kurang lancar dalam pengajarannya adalah kerana makanan. Iaitu saki baki susu yang beliau minum daripada jirannya ketika masih kecil, yang pada waktu itu ayahnya telah berpesan supaya isterinya tidak memberikan susu selain susu badannya. Ibunya tidak perasan ketika sedang sibuk menyiapkan makanan, datang jirannya dan mendapati Imam al-Juwaini menangis lantas disusukannya. Itulah yang menyebabkan beliau tidak lancar dalam pengajaran walaupun berlaku puluhan tahun yang silam. Jadi, makanan sangat memberi kesan, maka jagalah setiap makanan yang masuk ke dalam rongga kita.


10. Kesimpulannya, tempoh imtihan perlu diurus dengan baik merangkumi ilmu dan amal. Tawakkal pula selepas daripada usaha dengan menggabungkan antara takut dan harap. Berdoa dan bermunajatlah kepada Allah dan mintalah dengan rintihan dan keyakinan. Imtihan yang berfungsi untuk menguji tahap penguasaan ilmu kita juga adalah ujian buat kita.

______________________________________

Unit Tarbiyah dan Akademik BKASJ.

# Selamat menghadapi Imtihan buat Ahli BKASJ di semua mantiqah dari Unit Tarbiyah dan Akademik.
# Ustaz Haji Anhar Bin Opir adalah salah seorang ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan. 
Merupakan Calon Ph.D Feqh Dan Usul, The World Islamic Sciences and Education University, Jordan.
# Layari Laman Ustaz Haji Anhar Opir(disini).

Eksklusif Oktober: Kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dapat diungkapkan, marilah kita bersama mengucapkan rasa syukur pada Allah Azza Wajalla, Tuhan yang mencipta sekalian Alam ini, seterusnya berselawat ke atas Baginda Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam, keluarga dan para sahabatnya.

Saya mengucapkan rasa syukur atas nikmat yang Allah kurniakan, dalam kesibukkan mengurus tadbir urusan Persatuan ini, dan dalam waktu yang sama diberi kesempatan bertemu mesra bersama Mantan Perdana Menteri Malaysia yang Keempat, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad berserta isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dalam delegasinya ke Bumi Jordan pada 19-21 oktober 2011 yang lalu.

Kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah bagi menerima anugerah khas Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Jordan seperti yang dilaporkan oleh berita dalam negara ini(disini).

Alhamdulillah delegasinya sampai ke bumi Jordan ini, dan meneruskan hubungan mesra dan jalinan ukhwah antara wakil pelajar di bumi Jordan ini. Satu pertemuan rasmi dapat diadakan di Kedutaan Rasmi Malaysia Ke Amman, bersama Dato' Abdul Malik Bin Abdul Aziz  pada 21 Oktober 2011 yang lalu.

Bagi pihak saya sendiri mewakili Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan[BKASJ] ingin berkongsi hasrat setelah mendapat sedikit motivasi dari Tun Dr. Mahathir dan Tun Siti Hasmah agar kita selaku penuntut ilmu di bumi barakah ini bersama memertabatkan Islam sebagai Agama rasmi di Malaysia, seterusnya berharap di kalangan kita dapat berjasa untuk Negara Malaysia tercinta pabila pulang nanti, Insya'allah.

MOHAMED KHIEDIER BIN ABD WAHAB.
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan(BKASJ),
Sesi Pentadbiran 2011/2012.


Sekitar Lawatan Delegasi Tun Dr. Mahathir Mohamad Ke Amman-Jordan.








Artikel Aidiladha terpilih.

IBRAHIM A.S. : BUKTI KESETIAAN DAN PENGORBANAN

Puas Ibrahim berfikir, namun tiada jalan keluar. Seakan tidak percaya pada mimpinya sebentar tadi. Hati kecilnya bertanya-tanya, apa benar itu ilham daripada Tuhan atau pun sekadar mainan tidurnya. Memikirkan perkara itu, baginda terus tidak dapat melelapkan matanya untuk kembali beradu. Malam itu sepi dan tenang sekali. Mana mungkin dia mahu terus mengkhabarkan mimpi tadi kepada Ismail. Anak kecil itu mungkin sekali tidak memahami situasi itu.

Terasa seolah seusai semalam kisah Ibrahim mengorbankan anak kesayangannya Ismail a.s. baru berlaku. Hari ini, sejarah itu seolah bermain-main lagi. Cerita suka dan duka mereka masih segar diingatan. Tatkala si ayah berhasrat menyampaikan sesuatu khabaran dari ALLAH azza wajalla kepada si anak kecil, sayu si Ibrahim menatap wajah anak comel yang tidak mengerti itu, lantas diluahkan jua, lalu si anak tanpa rasa gundah dan takut menjawab: “wahai ayahku, seandainya itulah suruhan ALLAH kepadamu laksanakanlah ia, nescaya aku tetap redha” menitis air mata si ayah ketika si kecil Ismail melafazkan kata-kata itu, rupanya anak itu lebih memahami kehendak Tuhan yang Maha Agung. Sekali lagi Ibrahim menatap wajah si kecil itu sepuas-puasnya. Dibelai anak itu lalu dikucup dahi si anak, sejurus hati kecilnya berbisik ‘terlalu besar pengobananmu wahai Ismail’.


Sahabat pembaca sekalian,

Lihatlah betapa besarnya pengorbanan nabi ALLAH Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. dalam melaksanakan perintah Tuhannya. Tanpa berdolak-dalih, Ibrahim a.s. menurut walaupun hati berat mengatakan untuk berbuat demikian. Anak yang sekian lama ditunggu-tunggu lahir ke dunia, akhirnya sempat bermanja dengannya hanya seketika kemudian terus hilang dari dakapan seorang ayah untuk menjadi tetamu ALLAH.

Sidang pembaca sekalian,

Ibrahim dan Ismail telahpun membuktikan kesetiaan dan pengorban mereka, Ismailberkorban kerana sanggup disembelih oleh ayahnya, Ibrahim juga berkorban kerana rela berpisah dan ditinggalkan oleh anak tercinta. Itulah lambang kesetian mereka yang sehinga kini menjadi simbol kepada seluruh umat Islam. Bagaimana pula kita?

Pengorbanan seorang Anak kepada Ibu Bapa.

Alangkah indahnya seorang anak yang sehingga kini masih mempunyai ibu bapa di sisi mereka. Begitu juga, mereka yang telah mendapat belaian ibu bapa sejak dari kecil sehinggalah mereka dewasa, setiap detik dan ketika adalah dalam tatangan ayahbonda tercinta. Setiap saat merupakan waktu yang amat bahagia di samping mereka. Itulah jasa ayahbonda terhadap seorang anak. Kata pepatah berbunyi “seorang ibu mampu menjaga puluhan anaknya, namun seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu”

Pernahkah kita terfikir sejenak, sejauh manakah bukti kasih dan pengorbanan kita terhadap mereka? Ibu, sewaktu aku kecil kau menyusukan aku, adakah kini aku memberikan mu sesuap nasi ketika engkau memerlukan? Ibu, dahulu kau jua yang mendakapku setiap waktu kerana kudrat ku terbatas, kini adakah aku memimpin tanganmu ketika kau tidak berdaya? Ayah, setiap titik peluh mu mencari rezeki untuk ku, pernahkah aku membalasnya dengan kebanggaan untuk mu? Ayah, kudratmu terlalu banyak kau tumpahkan kepada ku, adakah aku pernah menilai semua itu? Oh ayah dan ibu, pernahkah aku tahu yang kalian adakalanya tersinggung dengan kelakuanku? Tuhan pengorbanan ku terlalu sedikit untuk mereka.

Pengorbanan kepada Agama.

Bila diimbau kenang, di manakah selayaknya aku di tempatkan? Tekadang, agama-MU ku abaikan demi kebahagiaan dunia. Adakalanya, perintah-MU aku kesampingkan semata terdorong dengan ikutan hawa nafsuku. Lantas di manakah pengorbananku untuk agama-MU?

Ya ALLAH, seandainya Muhammad s.a.w. itu bersusah payah membina Islam, aku sewenangnya mencerai-beraikan agama yang dikendong itu. Aku menjual agama, aku menghina agama, aku ingkar akan suruhan agama. Tuhan, aku sedar betapa para sahabat dan tabien bersusah payah membawa Islam sehingga kini nikmat itu mampu ku kecapi.

Itulah pengorbanan, kepayahan sudah menjadi mainan, keseksaan sudah sebati dalam jiwa dek kerana Agama yang ingin dipertahankan. Itulah pengorbanan Bilal bin Rabbah, sanggup bertahan walaudihimpit batu di dadanya. Itulah pengorbanan AL Yaasir, keluarganya dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri. Itulah pengorbanan Muhammad s.a.w. dilontar dengan batu-batuan saat baginda menjejaki kaki ke kota Thaif. Lalu, pengorbanan ku kepada agama di mana?

Nilai Pengorbanan di sisi Allah

Ya ALLAH, korban ku terlalu sedikit untuk dinilai oleh-MU, abaiku pada agama, jauhku pada titah perintah-MU, dosa ku pada ayahbonda membuktikan aku belum bersedia untuk menunai setia dan menghulurkan korban. Aku semahunya terlalu malu. Kerana jahilku, kerana sikapku, kerana lalaiku, dan kerana lemahku aku tidak sanggup untuk berkorban lantas jauh sekali untuk menghadiahkan ikhlas.

Ya ALLAH, aku di sisi-MU terlalu kerdil. Nilai korban ku bukanlah korban sejati kerana hati ini terlalu kotor, namun aku berusaha untuk berkorban apa yang termampu dengan apa yang terbaik, untuk ibu bapa, untuk agama, jua untuk agama-MU.


*Penulis adalah Mohd Afiq Mohd Saleh, Ahli BKASJ dan merupakan pelajar tahun akhir Universiti Al al-Bayt Mafraq.
Layari lamannya di: http://afiqsaleh.blogspot.com/