Archive for November 2011

Perutusan YDP BKASJ sempena Tahun Baru Islam 1433Hijriah.


MAAL HIJRAH

Bismillahirrahmanirrahim

Sudah menjadi budaya di Negara kita pabila tibanya Maal Hijrah, perayaan besar-besaran diadakan demi menghormati dan meraikan hari bersejarah dalam Islam ini.

Hijrah adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah membolehkan baginda mengatur strategi lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng usaha dan mengukuhkan kekuatan umat Islam. Allah Taala juga berfirman :

“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.”
Al-Baqarah:218.

Terfikir sejenak di minda, adakah diri ini menyambut hari mulia ini dengan penuh keinsafan dan pengertian sebenar ‘Hijrah’berdasarkan sirah di zaman Rasul, atau hanya sekadar ikut-ikutan dan bergembira kerana dengannya cuti umum seluruh Negara diadakan?

Tahukah teman-teman, di sebalik Maal Hijrah itu ada pengajaran berkaitan hubungan kita dengan Allah, dengan Rasul, dengan Islam dan juga perjuangan Islam.

Sesungguhnya Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda yang mafhumnya, apa yang dikehendaki oleh Nabi ialah hijrah jihad dan niat :

"Tiada lagi hijrah sesudah kemenangan membuka semula Kota Mekah melainkan Jihad dan niat"

1.Hijrah Niat.

Masih ingatkan sahabat semua kisah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah? Keputusan umat Islam untuk berhijrah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Ianya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Segalanya perlu ditinggalkan demi suatu misi. Dan perjalanannya juga bukan singkat dan selesa. Mereka berjalan kaki, bukan menaiki kereta mahupun kapal terbang.

Dengan bekalan makanan yang hanya cukup-cukup, dan perjalanan yang perlu diubah laluannya agar tidak bertembung dengan para musyrikin di tengah jalan, hijrah memerlukan keikhlasan yang tinggi. Segala kesusahan dan kepayahan yang dihadapi mereka tidak akan bermakna sekiranya NIAT mereka melakukan hijrah itu bukan kerana Allah dan Rasul, sebagaimana yang disebut Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam dalam Hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa(niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

2.Hijrah Jihad.

Jihad dengan makna berperang melawan musuh sama ada musuh yang ada dalam diri kita iaitu menundukkan nafsu selari dengan syara’, dan juga syaitan dan musuh yang memerangi Islam yang terdiri dari kalangan manusia.

Sungguh, bukan mudah untuk menewaskan ketiga-tiga musuh ini. Kita memerlukan satu tekad yang tinggi, serta keikhlasan semata-mata kerana Allah. Namun, bagaimana untuk mencipta rasa ikhlas itu?

Dengan kembali mengingati mati.

Dan meyakini bahawa, setiap perlakuan itu pasti akan dibalas di akhirat kelak. Tiada satu pun yang akan terlepas, melainkan semuanya berada dalam perhatian Nya.

3.Ukhuwwah Islamiyyah.

Ukhuwwah Muhajirin dan Ansar patut juga diambil pengajaran. Betapa dua manusia yang tidak pernah bersua bisa disatukan dengan ikatan hati, yakni ikatan aqidah yang mentauhidkan Yang Satu, sehingga sanggup berkongsi harta dengan saudara sesama agama.

Bagaimana pula dengan kita?

Hanya kerana bola, 2 saudara seagama berlainan bangsa saling mencaci.

Hanya kerana kekasih hati, 2 sahabat sanggup memutuskan tali persahabatan.

Hanya kerana harta, talian kekeluargaan diputuskan kerna ego yang menyelubungi diri.

Dan, sekelompok saudara tidak pernah peduli akan nasib saudaranya yang lain hanya kerna dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.

Mengapa begitu mudah sekali sebuah perhubungan suci itu terhapus, hanya semata-mata kerana masalah kecil yang sementara. Ayuh sahabat, hubungkanlah kembali tali persaudaraanmu. Tiada menang buat Islam, selagi ummatnya tidak terislah untuk bersatu.

4.Berstrategi Dalam Mencapai Matlamat.

Sebagai umat Islam yang sentiasa ingin menjadikan Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam sebagai teladan unggul, aspek perancangan yang telah ditunjukkan dalam peristiwa hijrah ini perlulah diteladani. Muslim yang baik haruslah seorang yang mampu merancang kerjanya, serta berstrategi dalam segala tindak tanduknya.

Telah tertulis dalam 10 muwassofat tarbiyyah (sifat-sifat tarbiyah), seorang Muslim yang baik adalah mereka yang teratur urusannya. Tiada dalam kamus hidupnya menangguh sesuatu kerja yang penting, mendahulukan kerja yang sampingan. Baginya setiap perkara itu perlu diletakkan pada tempatnya, yakni berlaku adil terhadap setiap perkara berdasarkan prioriti masing-masing.

Kesimpulan.

Penghijrahan dari satu titik negatif ke titik positif tidak datang percuma. Tidak mudah. Hijrah memerlukan pengorbanan, dan pengorbanan itu ertinya terkorban. Bersediakah kita untuk berkorban dan terkorban? Secara tidak langsung, peristiwa hijrah mengajar umat Islam supaya sentiasa positif, optimis dan berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu. Dan sudah pastilah diiringi doa dan tawakkal pada Allah.

Jadikanlah tahun baru ini sebagai pencetus semangat melahirkan diri kita yang ‘baru’, yang lebih bersemangat untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan memperjuangkan kesucian Islam .

Akhirnya, bagi pihak saya dan kepimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan, mengucapkan selamat tahun baru Islam 1433 Hijriah kepada seluruh ahli BKASJ di semua mantiqah, semoga ukhwah islamiyyah kita kekal selamanya, insya'allah, Allahumma amin.

Salam Maal Hijrah 1433H dari BKASJ.
MOHAMED KHIEDIER BIN ABD WAHAB.
Yang Dipertua,
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan(BKASJ),
Sesi Pentadbiran 2011/2012.


Tips: Kesihatan di Waktu Syita'

Jom jaga kesihatan waktu syita' ini...penting!

Islam satu agama yg merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuk penjagaan dari sudut kesihatan yang mana Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal.

Justeru itu kita amat dituntut supaya menjaga kesihatan kerana "sihat" merupakan anugerah berharga dari Allah. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:


"Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud:


"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." 
(Hadis Riwayat Muslim)

Agama Islam juga meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Ini berdasarkan Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:


"Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan(iman). 
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Musim Syita'(sejuk) melanda seluruh Jordan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT, dalam cuaca sejuk melanda bumi syam ini, marilah besama kita menjaga kesihatan diri. Penting!

Kita mengetahui kepelbagaian cuaca di Bumi tempat kita menuntut ilmu ini, di Irbid, Amman, Mu'tah dan Mafraq sama mengalami sejuk yang berpanjangan, adakalanya di waktu siang 13 darjah celcius berubah secara mendadak di malam hari dengan 5 ke 7 darjah celcius.

Allah SWT menguji kita agar menjadi penuntut ilmu yang sabar, seterusnya menunaikan hak pada diri sendiri iaitu menjaga kesihatan, supaya apabila sihat senang untuk kita menuntut ilmu dan paling utama demi beribadah kepadanya.

Perlu juga diingatkan di samping kita menjaga anugerah kesihatan yang diberikanNya kadangkala kita diuji dengan sedikit kesakitan. Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam telah mewasiatkan kepada pesakit-pesakit supaya mereka berubat.

Sabda Nabi s.a.w. :

"Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam satu peristiwa, orang Arab Badwi telah datang kepada baginda Nabi dan mereka bertanya:

 "Ya Rasulullah adakah kami perlu berubat?" Maka sabda Nabi : "Ya, wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit itu kecuali diletakkan bersamanya ubat kecuali satu penyakit sahaja." Maka mereka bertanya,"apakah penyakit itu?" Sabda Nabi : "Penyakit itu ialah 'tua'."
 (Hadis Riwayat Ahmad)


Tips dari Unit Sukan dan Kebudayaan BKASJ.

Namun berusahalah kita mengelakkan diri dari sakit yang melanda.

Bagi mengelakkan perut kita yang kekurangan tenaga, cepat lapar, sentiasa tidak bermaya, jom hayati 7 perkara ini, terutama dalam fatrah(tempoh) kita seharian ke Kuliah atau Universiti:



(1) Minum terlalu banyak minuman manis- Hasil daripada kajian oleh University of California di San Fransisco mendapati bahawa kandungan gula boleh 'menipu' otak terhadap keinginan untuk makan lebih banyak. Ia menghalang hormon leptin daripada memberitahu otak bahawa anda telah mendapatkan makanan yang secukupnya.

(2) Makan makanan bertin- Makanan di dalam tin terdedah kepada bahan kimia seperti bisphonel-A atau BPA, yang turut mempengaruhi hormon leptin seseorang. Ia akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali dan juga dikatakan sebagai punca terhadap masalah obesiti.

(3) Sarapan pagi yang tidak mencukupi- Hasil kajian terhadap 6746 orang selama empat tahun mendapati bahawa seseorang yang mengambil 300 kalori pada sarapan pagi akan meningkatkan pertambahan berat badan sebanyak dua (2) kali ganda berbanding orang yang mengambil 500 kalori. Ini kerana sarapan pagi yang tidak mencukupi akan menyebabkan seseorang untuk makan banyak kali sepanjang hari.


Pesanan: buat sahabat-sahabat yang berpuasa sunat(Isnin dan Khamis) digalakkan anda bersahur, terutama musim sejuk yang kian menipiskan daya tenaga di perut anda. Bersahur ada barakahnya. Cubalah.


(4) Tidak makan sayur-sayuran/buah-buahan- Khasiat di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membantu untuk seseorang berasa kenyang lebih lama dan ini dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.


(5) Minum teh(shai) kurang gula- Hasil daripada kajian mendapati bahawa seseorang yang minum teh kurang gula selepas makan akan membuatkan mereka berasa lebih kenyang dan secara tidak langsung dapat mengelakkan anda daripada makan banyak kali.

(6) Kurang minum air masak(moyya sihhi)- Tubuh badan yang kurang air akan menyebabkan seseorang untuk makan lebih banyak kerana ia meningkatkan tahap kelaparan seseorang. Sebaiknya, sebelum makan anda perlu minum air masak terlebih dahulu.

(7) Kebosanan- Hasil daripada kajian penyelidik Flinders University, Australia mendapati bahawa kebosanan akan meningkatkan keinginan seseorang untuk makan lebih banyak. Jadi bagi mengelakkan kebosanan, buatlah perkara bermanfaat, seperti membaca, studi group, ziarah kawan-kawan, aktiviti Persatuan dan lain-lain.

Menjaga kesihatan merupakan satu acquired taste yang biasanya mengambil masa untuk dihargai dan diminati. Yang penting, kita yang membuat pilihan untuk kebaikan diri sendiri.

Semoga syita' |musim sejuk ini penuh bahagia dan bermakna buat semua Ahli BKASJ, jangan culas untuk pergi ke kuliah pula. 

Jaga kesihatan antum, kerana dirimu amat-amat berharga. Sekian.

Unit Sukan dan Kebudayaan BKASJ.

Ustaz Haji Anhar Opir: Imtihan itu Ujian.



1. Imtihan biasanya bertujuan untuk menguji penguasaan ilmu yang dipelajari. Tanpa melihat kepada matlamat belajar setiap orang, yang sepatutnya kerana Allah SWT, imtihan telah menjadi satu sistem dalam pendidikan. Sama ada menggunakan kaedah sumatif atau formatif, ia berfungsi untuk menguji kefahaman, sehingga dapat diketahui selepas itu mereka yang cemerlang dengan mereka yang sederhana. Maknanya ia menjadi alat untuk membezakan di antara seseorang dengan seseorang yang lain.

2. Allah Azza wa Jalla memerintahkan Nabi SAW supaya melakukan ujian kepada golongan wanita yang datang ke Madinah selepas Perdamaian Hudaibiah tahun ke 6 Hijrah. 


Tujuannya untuk menguji keimanan mereka dan mengetahui faktor mereka berhijrah ke Madinah. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahinah ayat 10:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah mereka, Allah lebih mengetahui akan iman mereka. Dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir.

3. Imam al-Tabari (310H) dalam tafsirnya menyebut tentang apa yang dilakukan oleh nabi SAW terhadap mereka melalui soalan lisan yang diajukan. Al-Tabari menyatakan:

Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas ditanya tentang kaedah yang digunakan oleh nabi SAW ketika menguji wanita tersebut, jawabnya: Nabi SAW menguji mereka dengan bersumpah mengatakan bahawa: Demi Allah aku tidak keluar kerana benci suami, demi Allah aku tidak keluar kerana menginginkan satu tempat, demi Allah aku tidak keluar untuk mencari dunia (harta), dan demi Allah aku tidak keluar melainkan kerana cintakan Allah dan Rasulnya. (Tafir al-Tabari, Dar al-Fikr, Beirut, jilid 28, hlmn 67)

4. Imtihan boleh berlaku dalam pelbagai konteks, sama ada kehidupan itu secara keseluruhannya atau dalam konteks yang lebih kecil. Dalam konteks pendidikan kita telah sedia makluman akan kepentingan dan kesannya. Berusahalah secara maksimum dan bertawakkallah kepada Allah. Ia merupakan tempoh yang sangat penting bagi seorang penuntut ilmu. Berjaya mengurus tempoh ini bermakna kejayaan, dan sebaliknya jika gagal mengurusnya maka ia bermaksud kegagalan.

5. Tempoh ini menguji akidah dan keyakinan kita. Lebih signifikan dikaitkan dengan qadha’ dan qadar Allah SWT, yang mubram dan yang mu’allaq. Percaya atau tidak dengan janji Allah Azza wa Jalla, dan di antara perbuatan Allah dan perbuatan manusia. Bagaimana pula dengan teori al-kasb (usaha dan ikhtiar) dalam aliran al-Asya’irah. Boleh jadi ada yang terjerumus menjadi al-Jabariah, al-Qadariah atau al-Muktazilah. Kita disuruh berusaha tetapi pada masa yang sama Allah SWT telah tentukan qadar kepada kita, bagaimana ye?. 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa nabi bersabda:

Sesungguhnya kejadian setiap daripada kamu di dalam perut ibunya empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah seumpama dengannya, kemudian menjadi mudhghah (fetus) seumpama dengannya, kemudian malaikat dihantar kepadanya dan disuruh dengan empat kalimah; dituliskan rezekinya, ajalnya, amalnya, kemudian dituliskan penderitaan (neraka) atau kebahagiaan (syurga), kemudian ditiupkan kepadanya roh (nyawa). (Riwayat Abu Daud)

6. Tempoh imtihan ini juga menguji syariat dan ibadah. Ada yang menjadi baik pada musim imtihan tetapi kembali melakukan maksiat selepas tamat imtihan, alasannya supaya boleh jawab soalan dengan baik kerana maksiat boleh gelapkan hati. Terdapat juga yang fana’dengan nota dan study group hingga melewatkan solat dan mengabaikan solat berjemaah, mereka kata masa tak cukup dan kena ‘study maut’. Itu baru yang wajib belum lagi yang sunat seperti baca al-Qur’an, solat sunat rawatib dan bersedekah, lagi lah jauh untuk dilakukan. Namun masih ada yang istiqamah dengan peribadi muslim, tahniah untuk mereka. Hakikatnya manusia adalah hamba Allah SWT selagi hayat dikandung badan, samada musim imtihan atau tidak, saat kritikal atau biasa. Allah maha mengetahui setiap tindak tanduk kita, sama ada yang zahir atau batin. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 97-99:

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu yakin (kematian).

7. Akhlak dan peribadi kita juga teruji dalam tempoh ini. Akhlak dengan rakan sebilik, serumah, sejabatan, sefakulti dan seuniversiti. Masing-masing menggunakan kaedah tersendiri dalam mengulangkaji tanpa menghiraukan sekelilingnya. Ada kaedah yang biasa dan ada kaedah yang ganjil bahkan menyakiti hati orang lain pula. Pendek kata penuntut ilmu sangat kereatif dalam hal ini. Janganlah kejayaan yang kita dapat nanti ada yang terguris dan marah dek kerana perbuatan kita. Biarlah semua orang gembira dan bahagia dengan kejayaan kita. Tunaikan hak kepada mereka yang berhak mendapatnya. 

Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah daripada ayahnya:

Nabi SAW telah mempersaudarakan Salman al-Farisi dengan Abu Darda’, satu hari Salman menziari Abu Darda’ lalu Salman melihat Ummu Darda’ dalm keadaan bajunya lusuh, Salman bertanya: apa yang berlaku? Ummu Darda’ menjawab: Saudaramu Abu Darda’ tidak berhajat kepada dunia. Datang Abu Darda’ dan menyiapkan makanan untuk saudaranya. Abu Darda’ menjemput Salman: Silakan makan, aku berpuasa. Salman menjawab: Aku tidak akan makan sehingga kamu makan. Abu Darda’ pun makan. Pada malamnya Abu Darda’ bangun untuk qiamullail, Salman berkata: tidurlah. Abu Darda’ pun tidur. Seketika Abu Darda’ bangun lagi untuk qiamullail. Salman berkata: tidurlah, maka Abu Darda’ pun tidur. Pada akhir malam Salman bangun dan berkata kepada saudaranya: Bangunlah sekarang dan kita solat. Salman berkata lagi: Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Tuhanmu, untuk dirimu juga ada hak, untuk keluargamu juga ada hak, maka berikanlah hak kepada setiap yang berhak. Kemudian Abu Darda’ mendapatkan nabi SAW dan menceritakan kisahnya, lalu nabi berkata kepadanya: Salman benar. (Riwayat al-Bukhari)

8. Tempoh imtihan ini juga, setiap kita mesti menjaga kesihatan. Kebersihan tempat tinggal dan kebersihan diri kerana ia sangat memberi kesan dalam menuntut ilmu. Jika tidak dijaga, ia boleh menjejaskan kesihatan. Apabila dah sakit, maka kita tidak mampu menggunakan masa yang diperuntukkan secara maksimum, pada waktu ini imtihan pun sudah tidak berfaedah baginya. Makanan yang masuk dalam badan kita juga perlu dipastikan halal dan baik. Ia bukan semata-mata tentang kesihatan, tetapi juga ada kaitan dengan doa yang mustajab. 

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa:

Ketika dibacakan ayat: Wahai manusia makanlah apa yang ada di atas muka bumi ini daripada yang halal dan baik (al-Baqarah ayat 168), bangun Sa’ad bin Abi Waqas dan berkata: Ya Rasulullah, doakanlah untukku agar Allah menjadikanku orang yang mustajab doanya. Nabi SAW menjawab: Wahai Sa’ad, perelokkanlah makananmu nescaya doamu akan mustajab, demi sesungguhnya yang jiwa Muhammad dalam genggamannya, seorang hamba yang memasukkan walau sesuap makanan yang haram ke dalam rongganya, maka Allah tidak akan menerima amalannya selama empat puluh hari. (Riwayat al-Tabrani, al-Awsat)

9. Imam al-Haramain al-Juwaini (478H) yang merupakan guru kepada Imam al-Ghazali (505H), pernah mendedahkan kepada anak muridnya bahawa faktor yang menyebabkan beliau kurang lancar dalam pengajarannya adalah kerana makanan. Iaitu saki baki susu yang beliau minum daripada jirannya ketika masih kecil, yang pada waktu itu ayahnya telah berpesan supaya isterinya tidak memberikan susu selain susu badannya. Ibunya tidak perasan ketika sedang sibuk menyiapkan makanan, datang jirannya dan mendapati Imam al-Juwaini menangis lantas disusukannya. Itulah yang menyebabkan beliau tidak lancar dalam pengajaran walaupun berlaku puluhan tahun yang silam. Jadi, makanan sangat memberi kesan, maka jagalah setiap makanan yang masuk ke dalam rongga kita.


10. Kesimpulannya, tempoh imtihan perlu diurus dengan baik merangkumi ilmu dan amal. Tawakkal pula selepas daripada usaha dengan menggabungkan antara takut dan harap. Berdoa dan bermunajatlah kepada Allah dan mintalah dengan rintihan dan keyakinan. Imtihan yang berfungsi untuk menguji tahap penguasaan ilmu kita juga adalah ujian buat kita.

______________________________________

Unit Tarbiyah dan Akademik BKASJ.

# Selamat menghadapi Imtihan buat Ahli BKASJ di semua mantiqah dari Unit Tarbiyah dan Akademik.
# Ustaz Haji Anhar Bin Opir adalah salah seorang ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan. 
Merupakan Calon Ph.D Feqh Dan Usul, The World Islamic Sciences and Education University, Jordan.
# Layari Laman Ustaz Haji Anhar Opir(disini).